fb fb fb fb fb

Bekalan elektrik di beberapa kawasan Sarawak ditutup akibat banjir

FOTO SEB

SIBU, 21 Mac – Sarawak Energy Berhad (SEB) hari ini memaklumkan, telah menutup bekalan elektrik di beberapa kawasan di Kanowit, Song dan Kapit sebagai langkah keselamatan susulan kejadian banjir.

Menurut kenyataan SEB, kawasan terjejas di Kanowit termasuk Rumah Pam Rawatan Air Kanowit, sebahagian Nanga Poi, Rumah Nyalong dan Sungai Baloh.

Di daerah Song, antara kawasan yang terlibat ialah Sungai Embuau, Sungai Manap, Sungai Song, Lubok Engkabang, Sungai Selibut, Nanga Kebiaw, Sungai Lijau, Temalat dan Kampung Rian.

Sementara itu, di Kapit, gangguan bekalan elektrik turut melibatkan kawasan Sungai Sibau Ulu, Nanga Tulie, Nanga Baleh, Pulau Pisang dan Kampung Muhibbah Bleteh.

"Bekalan elektrik akan dipulihkan sebaik sahaja banjir surut. Bagi mengelakkan sebarang risiko bahaya seperti kebakaran atau kejutan elektrik, stesen janakuasa di kawasan yang terjejas perlu diperiksa dan dikendalikan dengan teliti sebelum bekalan disambung semula," menurut kenyataan SEB.

SEB turut menghargai kesabaran para pengguna dalam menghadapi situasi ini dan menasihatkan mereka untuk mengutamakan keselamatan.

Sebarang pertanyaan atau bantuan boleh diajukan kepada Pusat Khidmat Pelanggan 24/7 SEB melalui talian 1300-88-3111 atau aplikasi SEB Cares.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE