fb fb fb fb fb

Bedah siasat 10 mangsa nahas helikopter dijangka siap tengah hari esok

Foto hiasan

IPOH, 23 April- Prosedur bedah siasat 10 mangsa Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) yang terbabit dalam nahas helikopter terhempas di Pangkalan TLDM Lumut, Perak dijangka dapat disiapkan pada tengah hari esok.

Timbalan Pengarah Perubatan I Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) Dr Liaw Kok Toon dalam kenyataan memaklumkan, pihaknya menerima 10 jenazah anggota TLDM sekitar pukul 6.00 petang tadi.

"Prosedur bedah siasat telah dimulakan dan dijangka dapat disiapkan pada lewat tengahari esok.

"HRPB dengan ini memohon kerjasama semua pihak untuk memberi ruang memastikan prosedur bedah siasat serta pengecaman mangsa dapat dijalankan dengan lancar oleh pihak Jabatan Forensik HRPB, selain menghormati privasi waris mangsa," kata kenyataan itu.

Pada masa sama semua pihak dinasihatkan untuk memberi ruang dalam memastikan prosedur bedah siasat oleh Jabatan Forensik HRPB Ipoh berjalan lancar.

Pagi tadi media melaporkan 10 terkorban dalam nahas membabitkan dua buah helikopter bertembung ketika raptai Perbarisan Hari Ulang Tahun TLDM ke-90 di Pangkalan TLDM Lumut.

Tentera Laut Laut Diraja Malaysia (TLDM) mengesahkan insiden nahas membabitkan Helikopter Operasi Maritim (HOM-AW139) TLDM dan sebuah helikopter FENNEC TLDM.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI