fb fb fb fb fb

Bas percuma untuk pengunjung AKM Terengganu di lima lokasi

KUALA TERENGGANU, 30 Mei- Bas percuma akan disediakan di lima lokasi 'ambil dan hantar' untuk kemudahan orang ramai yang berhasrat ke Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia (AKM) di Kompleks Sukan Negeri Terengganu di Kuala Nerus pada 2 hingga 4 Jun ini.

Unit Korporat Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Terengganu dalam kenyataan memaklumkan sebanyak 16 bas akan disediakan untuk mengambil dan menghantar orang ramai di Masjid Sultan Muhammad di Bukit Besar untuk komuniti di sekitar Bukit Besar, Pasir Panjang, Sungai Derhaka, Bukit Bayas dan Panji Alam.

Lokasi lain ialah di Masjid Kampung Tasik di Wakaf Dua untuk komuniti di sekitar Kampung Tasek, Bukit Payung dan Pulau Besar; Pasar Manir (sekitar Manir); Masjid Al-Mustaqim Kampung Gemuroh (sekitar Gemuroh dan Tepoh) dan Masjid Batu Rakit (sekitar Batu Rakit).

Menurut kenyataan itu, pergerakan bas akan bermula pada pukul 8.30 pagi hingga 6.30 petang dan perjalanan di setiap lokasi ambil dan hantar dianggarkan satu jam sekali.

Pelbagai program menarik akan berlangsung pada Jelajah AKM kali ini antaranya kaunter kementerian dan agensi, karnival kerjaya, Jualan Keluarga Malaysia, Jualan Usahawan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS), sukan rakyat, e-sukan dan persembahan kebudayaan negeri.

Pada penganjuran kali ini, Kementerian Pendidikan (KPM) dipilih sebagai kementerian peneraju bagi pengisian program dengan fokus utama 'Keluarga Malaysia Keluarga Berilmu'.

Media Baharu