
SHAH ALAM, 12 Januari – Bantuan Awal Persekolahan (BAP) berjumlah RM150 mula diagihkan kepada ibu bapa sejak semalam, selaras dengan hari pertama sesi persekolahan 2026.
- BAP RM150 diagihkan kepada semua pelajar di sekolah yang layak untuk membeli kelengkapan sekolah.
- Program bertujuan mempertingkat hubungan antara ibu bapa dan pihak sekolah melalui sesi bersama guru.
- Ibu bapa mengalu-alukan bantuan tetapi berharap ia disalurkan lebih awal sebelum sesi persekolahan.
- Inisiatif kerajaan selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI untuk memastikan akses pendidikan yang adil.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek, berkata program itu bukan sahaja membantu meringankan kos persekolahan, malah menjadi platform penting untuk mengukuhkan hubungan antara ibu bapa dan pihak sekolah.
“Dengan agenda utama untuk ibu bapa hadir ke sekolah menerima BAP secara tunai dan sesi bersama guru, kita harap semua murid tanpa kecuali mendapat manfaat daripada bantuan ini. Ini adalah komitmen Kerajaan MADANI bagi memastikan kesejahteraan pendidikan murid,” katanya selepas meninjau sesi persekolahan hari pertama di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Ladang Regent, Elmina, di sini, hari ini.
Turut hadir Timbalan Menteri Pendidikan, Wong Kah Woh.
BAP diagihkan kepada semua pelajar di sekolah yang layak, dengan setiap murid menerima RM150.
Ia bertujuan membantu ibu bapa membeli kelengkapan sekolah seperti buku, pakaian dan keperluan asas persekolahan.
Tinjauan RTM mendapati ramai ibu bapa bersyukur dengan inisiatif kerajaan, walaupun sebahagian daripada mereka berharap bantuan disalurkan lebih awal sebelum sesi persekolahan bermula.
Antara yang ditemui, Nor Masnita Ismail berkata, “Kalau boleh BAP diberikan sebelum buka sekolah, lagi membantu ibu bapa membeli kelengkapan anak.”
Manakala Nur Syasya Nayli, Krishnaveni Janarthanan, Megat Azri Hakim dan Khor Kuan Nii turut menyatakan rasa terima kasih kepada kerajaan atas bantuan itu, sambil berharap ia dapat diberikan lebih awal pada tahun-tahun hadapan untuk memudahkan perancangan perbelanjaan keluarga.
BAP merupakan salah satu inisiatif kerajaan untuk meringankan beban rakyat, sejajar dengan aspirasi Malaysia MADANI bagi memastikan akses pendidikan yang adil dan menyeluruh.