fb fb fb fb fb

Bantuan perayaan Krismas, Melaka peruntuk RM40,000

Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf mengagihkan sendiri sumbangan kepada penerima

AYER KEROH, 18 Disember- RM40,000 diperuntukkan kerajaan negeri Melaka untuk disalurkan kepada 200 penerima sempena perayaan Hari Krismas.

Ketua Menterinya, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata sumbangan berkenaan bertujuan untuk meringankan beban mereka selain membantu dalam persiapan Hari Natal nanti.

"Hari ini kita memberikan sumbangan kepada 200 penerima dalam negeri Melaka sempena dengan perayaan Hari Krismas yang menjelang tiba. Penerima terdiri daripada mereka yang beragama Kristian meliputi pelbagai kaum, Cina, India dan Serani."

"Saya melihat mereka amat bergembira, sekurang-kurangnya mereka dapat menggunakan bantuan itu untuk memberi barang-barang keperluan asas sempena Hari Krismas nanti," kata Ab Rauf kepada pemberita selepas Majlis Penyampaian Sumbangan Bantuan Krismas di Seri Bendahara, di sini.

Rata-rata penerima sumbangan yang ditemui berkata, bantuan sumbangan itu sedikit sebanyak dapat membantu menambah persiapan mereka.

"Sumbangan ini sangat membantulah. Dapat kurangkan beban sedikit sempena Hari Krismas nanti. Boleh buat makan-makan. Orang kampung sudah buat persiapan, ada lampu warna-warni cantik. Selain itu, boleh guna untuk tambang nenek saya yang perlu jalani rawatan dialisis," kata Cheryl Da Silva.

"Lebih kurang semua sudah siap. Rumah sudah hias, kuih-muih sudah mula buat. Tinggal tunggu Hari Krismas sahaja, kita nak masak lauk untuk dimakan bersama keluarga," kata James Phillip Diaz.
 

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM