KUALA LUMPUR, 13 Ogos- Bank Muamalat Malaysia Berhad (Bank Muamalat) hari ini mengumumkan penawaran bantuan khas banjir kepada pelanggannya yang terjejas ekoran situasi banjir buruk yang melanda beberapa kawasan di negara ini.
Ia merangkumi bantuan moratorium untuk semua pembiayaan individu dan perniagaan sehingga enam bulan, penggantian kad debit dan kad kredit tanpa sebarang bayaran serta pengecualian caj transaksi pengeluaran RM1 menerusi mesin pengeluaran wang automatik (ATM).
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Bank Muamalat, Khairul Kamarudin berkata, pihaknya prihatin terhadap kesulitan yang dihadapi pelanggan termasuk individu serta perniagaan.
Beliau berharap bantuan khas banjir itu dapat memberi kelegaan kepada mereka yang terlibat.
"Sebagai sebuah institusi kewangan Islam yang sentiasa komited dalam mencipta ‘Kehidupan Lebih Baik, Bersama’ pelanggannya, kami bertanggungjawab memainkan peranan penting dalam menyokong dan membantu komuniti menempuhi waktu getir ini.
"Pelanggan yang menghadapi kesulitan kewangan berikutan bencana ini boleh memohon bantuan khas dengan memuat turun borang permohonan “Service Request Form” (SRF) yang tersedia di laman sesawang Bank Muamalat di www.muamalat.com.my dan menghantar dokumen sokongan yang berkaitan menerusi emel
Jelas Khairul, langkah proaktif akan diambil bagi memastikan proses dokumentasi dan kelulusan permohonan dipermudahkan.
Tambahnya, bagi pelanggan yang ingin mendapatkan khidmat nasihat, boleh mengunjungi cawangan Bank Muamalat terdekat atau menghubungi Pusat Khidmat Pelanggan di talian 03-2600 5500.