PAYA JARAS, 4 Oktober- Kerajaan Selangor akan menyalurkan bantuan kecemasan sebanyak RM1,000 kepada setiap isi rumah yang terjejas akibat banjir kilat baru-baru ini.
Exco Pengurusan Bencana Negeri Selangor, Najwan Halimi, berkata bantuan tersebut disalurkan sebagai langkah segera untuk meringankan beban penduduk yang terkesan.
Menurut beliau, bantuan tersebut diberikan kepada mereka yang mendaftar di pusat pemindahan sementara (PPS) yang disediakan di kawasan terjejas.
"Kita juga telah meminta jabatan daerah untuk menyelaras dan mengemas kini senarai mereka yang mendaftar di sini untuk urusan bantuan kecemasan.
"Di Selangor, kita ada bantuan khusus untuk mereka yang terjejas banjir ini.. cuma mereka perlu mendaftar di PPS untuk memudahkan proses tersebut," katanya kepada pemberita selepas meninjau PPS di Dewan MBSA Seri Pagi di sini.