KUALA LUMPUR, 6 Februari- Situasi banjir di Sarawak semakin pulih apabila jumlah penduduk terjejas di negeri tersebut terus mencatatkan penurunan malam ini, bagaimanapun Sabah merekodkan sedikit peningkatan.
Portal Bencana Pusat Kawalan Bencana Negara (NDCC), Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) merekodkan 4,341 penduduk terjejas di Sarawak setakat pukul 8.00 malam ini, berbanding 4,520 orang petang tadi, manakala Sabah, 330 orang berbanding 322 orang.
Sarawak mencatatkan 13 daerah terjejas melibatkan 1,390 keluarga di 22 pusat pemindahan sementara (PPS).
Paling tinggi di Bintulu dengan 1,052 orang, diikuti Selangau (992), Subis (492), Tatau (419), Mukah (409), Miri (278), Kanowit (178), Dalat (166), Beluru (147), Sebauh (141), Sebuyau (51), Pakan (13) dan Sibu (tiga).
Sementara Sabah, membabitkan daerah Kinabatangan iaitu 253 orang daripada 65 keluarga di dua PPS, manakala Keningau, 77 orang daripada 19 keluarga di satu PPS.