
KOTA KINABALU, 26 Februari – Penduduk terjejas banjir di Sabah meningkat kepada 2,288 orang setakat 8 pagi ini, berbanding 1,564 orang yang direkodkan malam tadi.
- Jumlah mangsa banjir di Sabah meningkat kepada 2,288 orang ditempatkan di 10 pusat pemindahan sementara.
- Beaufort catat kenaikan mangsa tertinggi dengan 945 orang, ditempatkan di Pusat Pemindahan Kekal Selagon dan PPS Dewan DUN Banir.
- Enam daerah terjejas melibatkan 140 kampung; Tenom baru dilanda, pendaftaran mangsa masih dijalankan.
Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sabah memaklumkan kesemua yang terkesan daripada 935 keluarga itu kini ditempatkan di 10 pusat pemindahan sementara (PPS) yang beroperasi.
Berdasarkan data terkini, daerah Beaufort merekodkan peningkatan tertinggi iaitu sebanyak 945 orang (291 keluarga) berbanding hanya 395 orang malam tadi. Kesemua penduduk terjejas di daerah itu kini ditempatkan di Pusat Pemindahan Kekal Selagon dan PPS Dewan DUN Banir.
Di Sipitang, jumlah mereka yang terkesan banjir turut meningkat kepada 421 orang (176 keluarga) berbanding 352 sebelum ini, manakala jumlah di Membakut bertambah kepada 315 orang (125 keluarga) berbanding 211 orang malam tadi.
Jumlah penduduk terjejas di daerah Pitas dan Sook tidak berubah sejak malam tadi.
Pitas kekal dengan 528 orang (318 keluarga) yang berlindung di PPS Dewan Terbuka Kanibongan dan Dewan Sinukab Kanibongan, manakala di Sook sebanyak 79 orang (25 keluarga) di PPS Dewan SLDB Dalit Gana.
Bagi Tenom yang menjadi daerah terbaru dilanda banjir sejak petang semalam, jumlah penduduk terkesan banjir di PPS pagi ini masih belum direkodkan berikutan proses pendaftaran dan semakan pihak berwajib masih giat dijalankan.
Secara keseluruhan, jumlah kampung yang terjejas akibat bencana banjir di keenam-enam daerah terbabit kekal pada angka 140 buah kampung.-BERNAMA