fb fb fb fb fb

Banjir kilat di Johor, satu PPS dibuka

Pemantauan dilakukan di lokasi kejadian meskipun hujan sudah berhenti

JOHOR BAHRU, 2 November - Satu pusat pemindahan sementara (PPS), di sini dibuka menempatkan 101 penduduk di Lorong Mak Piah, Kampung Sungai Tiram susulan banjir kilat.

Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Johor Jaya Penolong Kanan Penguasa Bomba Mohd Faiz Ramli dalam satu kenyataan berkata mereka yang terdiri daripada 31 keluarga ditempatkan di PPS Dewan Raya Sungai Tiram, kira-kira pukul 11.00 malam tadi.

Beliau berkata penghulu mukim kampung berkenaan memaklumkan hujan lebat berlaku sekitar 4.00 petang dan longgokan kayu serta sampah di jambatan sungai berdekatan telah menyekat aliran air yang seterusnya melimpah sekali gus menyebabkan banjir setinggi satu meter.

"Pasukan keluaran operasi (PKO) terdiri daripada lapan anggota bertindak memindahkan mangsa ke PPS dengan menggunakan sebuah bot bomba sukarela dan sebuah bot orang awam. Ada juga mangsa yang berpindah sendiri ke PPS berkenaan," katanya.

Pemantauan terus dilakukan di lokasi kejadian meskipun hujan sudah berhenti sekitar 6.00 petang semalam.

TETITIA YUSOFF