fb fb fb fb fb

Banjir: Kelantan kekal rekod 2,019 penduduk terjejas

(Foto fail)

KELANTAN, 16 Disember- Tujuh pusat pemindahan sementara (PPS) masih dibuka di daerah Pasir Mas di sini yang menempatkan 2,019 orang daripada 637 keluarga, setakat pukul 7.00 pagi tadi.

Portal Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) memaklumkan, jumlah berkenaan kekal sejak pukul 12.00 tengah malam tadi dengan PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Tok Deh mencatatkan penduduk terjejas tertinggi iaitu 712 orang daripada 266 keluarga.

"Ia diikuti PPS SK Gual Periok menempatkan 544 orang daripada 149 keluarga, PPS SK Kubang Gual (256 orang,15 keluarga), PPS SK Sri Kiambang (234 orang,75 keluarga), PPS Putat Tujoh (157 orang, 52 keluarga), PPS Masjid Mukim Padang Licin (69 orang, 21 keluarga) dan PPS SK Kedai Tanjung merekodkan 47 orang daripada 15 keluarga," kata NADMA.

Sementara itu, laman sesawang Public InfoBanjir Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) melaporkan stesen Rantau Panjang di Pasir Mas mencatatkan paras air melebihi tahap amaran iaitu 8.52 meter (m), setakat pukul 9.30 pagi tadi.

"Stesen Kampung Jambu di Tumpat (Kuala Jambu) pula melebihi paras air tahap waspada iaitu 2.02 m.

"Namun, paras air di kedua-dua stesen tersebut menujukkan trend menurun," jelasnya.

(Foto fail)

Media Baharu