fb fb fb fb fb

Banjir Johor: Penduduk terjejas meningkat kepada 1,475 orang

Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri memaklumkan dua laluan di Mersing iaitu Jalan Kampung Orang Asli Peta dan Jalan Masuk Tenggaroh Timur - Tanjung Leman turut terputus hubungan.

KLUANG, 4 Januari - Jumlah penduduk terjejas banjir di Johor terus meningkat kepada 1,475 penduduk daripada 382 keluarga setakat pukul 12 malam ini.

Sebanyak 13 Pusat Pemindahan Sementara (PPS) turut telah diaktifkan melibatkan empat daerah terjejas iaitu di Johor Bahru, Kluang, Mersing dan Kota Tinggi.

di Johor Bahru, empat Pusat Pemindahan Sementara (PPS) dibuka menyaksikan 182 penduduk daripada 46 keluarga terjejas berlindung di PPS Dewan Muafakat Kampung Cahaya Baru, 64 penduduk daripada 20 keluarga ditempatkan di PPS Dewan Kampung Sungai Tiram.

Manakala 131 penduduk daripada 33 keluarga berlindung di PPS Sekolah Kebangsaan Kampung Cahaya Baru dan 43 orang daripada 12 keluarga di PPS Sekolah Kebangsaan Nam Heng. 
 
Sementara itu di Mersing, melibatkan PPS Sekolah Kebangsaan Air Papan menempatkan 139 penduduk daripada 35 keluarga manakala PPS Sekolah Kebangsaan Tenglu, 132 penduduk terjejas daripada 36 keluarga. 
 
Di kluang melibatkan PPS Dewan Majlis Perbandaran Kluang, Kahang menempatkan 60 penduduk terjejas daripada 20 keluarga. 

Manakala di Kota Tinggi, 205 penduduk daripada 52 keluarga ditempatkan di PPS Sekolah Jenis Kebangsaan Cina New Kota, 57 penduduk daripasa 15 keluarga di PPS Dewan Pasak Indah dan 18 penduduk daripada tiga buah keluarga di PPS Balairaya Kampung Sungai Telor.

Selain itu, 243 penduduk daripada 56 buah keluarga ditempatkan di PPS Sekolah Kebangsaan Laksamana, 182 penduduk daripada 49 keluarga lagi di PPS Sekolah Rendah Agama Bersepadu dan 19 penduduk daripada lima keluarga di PPS Dewan Kampung Baru Sungai Mas. 

Dua laluan di Mersing iaitu Jalan Kampung Orang Asli Peta dan Jalan Masuk Tenggaroh Timur - Tanjung Leman masih lagi  terputus hubungan. 
 
Manakala empat laluan di Kota Tinggi termasuk Jalan Kota Tinggi - Mersing telah boleh dilalui oleh kenderaan ringan kecuali motosikal tidak digalakkan di Jalan Kimlong, Kota Tinggi. 

Sementara itu, Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi yakin persiapan menghadapi situasi banjir di negeri itu berada dalam keadaan bersiap siaga bagi memastikan segala bantuan dapat disalur segera.

"Itu semua koordinasinya diperingkat Pegawai Daerah.Bantuan agensi terutama Angkatan Tentera (ATM), Angkatan Pertahanan Awam (APM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) semua dalam keadaan baik dari segi persiapan.

"Persiapan ini bukan sehari dua, dari bulan 11 tahun lepas kita sudah bermesyuarat, jadi memang segala keperluan setiap daerah dibawah Pegawai Daerah sudah buat persiapan rapi," katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas melakukan lawatan kerja ke jalan Glow In The Dark, di sini.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN