(Penternak Ikan Laguna Semerak rugi lebih RM1 juta melibatkan 2,100 petak sangkar ikan)
PASIR PUTEH, 25 Disember- Penternak ikan sangkar di Laguna Semerak, di sini mengalami kerugian lebih RM1 juta apabila ikan kerapu hibrid mati disebabkan bencana banjir.
Pengerusi Penternak Ikan Laguna Semerak, Mustafa Bakar berkata, kerugian itu melibatkan 2,100 petak sangkar yang diusahakan oleh 32 penternak.
Menurutnya, aliran air banjir dari sawah padi berdekatan berserta hujan lebat menyebabkan tahap kemasinan air di laguna tersebut menurun, sekali gus memberi kesan kepada ikan kerapu hibrid yang diternak sejak awal tahun ini.
Tambah Mustafa, kesemua ikan kerapu hibrid yang dipelihara di kawasan Laguna Semerak itu adalah untuk pasaran Singapura, Kuala Lumpur dan Johor.
"Harga pasaran ikan kerapu cukup memuaskan daripada RM30 sekilogram kepada RM60 sekilogram ketika ini, namun kejadian banjir telah menyebabkan peternak kerugian lebih RM1 juta," katanya di sini.
Mustafa berkata, penternak sepatutnya menuai hasil ternakan mereka pada sambutan Tahun Baru Cina, bulan depan.
(Ikan kerapu hibrid mati disebabkan bencana banjir di Semerak, Pasir Puteh)