fb fb fb fb fb

Banjir di Sabah pulih, tiga keluarga di Paitan dibenarkan pulang

Foto fail Bernama

KOTA KINABALU, 28 Disember - Enam penduduk terjejas banjir yang ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) di Sekolah Menengah Kebangsaan Pamol menjadi kumpulan terakhir dibenarkan pulang ke rumah masing-masing pada pukul 5 petang tadi.

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Banjir Sabah dalam kenyataan berkata, kesemua mereka terdiri daripada tiga keluarga di daerah Paitan.

Selain itu, PPS Rumah JPKK Cocos di Paitan juga telah ditutup pukul 2 petang tadi.

"Semua penduduk khususnya di kawasan rendah turut diingatkan agar sentiasa berjaga-jaga khususnya pada musim cuaca yang tidak menentu.

“Tiada laporan diterima mengenai kejadian tidak diingini atau kematian disebabkan banjir berlaku kali ini, pihak sekretariat mengucapkan terima kasih kepada semua yang terlibat,” katanya.

Pada Selasa lalu, hujan lebat berterusan telah melanda daerah Sandakan dan Paitan sehingga berlakunya banjir yang menyebabkan seramai 180 penduduk dari kedua-dua daerah itu berlindung di 3 buah PPS.

GRACE AISYAH KEDAYAN