JOHOR BAHRU, 2 Disember- Situasi banjir di Johor dilapor semakin pulih, apabila air mulai surut sejak semalam.
Tinjauan RTM di Kampung Paya Kenangan, Johor Bahru menyaksikan penduduk terjejas mula kembali ke rumah untuk melaksanakan proses pembersihan.
Rata-rata mereka berharap dapat pulang semula ke rumah pada hari ini berikutan cuaca baik sejak semalam selain perlu menyiapkan anak untuk sesi persekolahan, esok.
"Sebenarnya, kawasan ini sudah beberapa kali dilanda banjir. Ia bergantung juga pada cuaca. Selalunya, memang setiap tahun mesti jadi tapi kali ini tidak lah begitu teruk. Air itu naik sehingga ke paras lutut. Jadi, bila banjir ini, barang-barang yang besar macam almari, habislah kena selut dan lumpur," luah Azhar Ishak kepada RTM.
"Sekarang ini kita masih mengemas lagilah. Kita nak turunkan barang-barang macam mesin basuh, makan masa 1-2 jam juga sebab berselut masih lagi. Kami sudah biasa, bila terjadi banjir ini. Barang-barang kita sudah pindahkan lebih awal, orang kata sudah buat persediaan awal berdepan banjir ini," kata Danish Muzaffar.
Setakat ini, penduduk terjejas masih kekal 565 orang daripada 150 keluarga dengan dua pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka sejak Khamis lalu.
PPS tersebut adalah PPS Sekolah Kebangsaan Bukit Mutiara menempatkan 312 penduduk daripada 84 keluarga terjejas manakala 253 penduduk terjejas lagi berlindung di PPS Dewan Muafakat Kampung Cahaya Baru.