KUALA LUMPUR, 1 Disember- Angkatan Tentera Malaysia (ATM) bersedia menambah anggota dan aset sekiranya banjir yang melanda beberapa negeri bertambah buruk.
Setakat ini, seramai 5,600 anggota dan aset telah diatur gerak bagi membantu penduduk terjejas banjir di seluruh negara.
Panglima Angkatan Tentera Malaysia, Jeneral Tan Sri Mohammad Ab Rahman berkata, arahan operasi melalui Op Murni telah dikeluarkan sejak September lalu dan anggota telah ditempatkan di kawasan yang dijangka dilanda banjir.
"Mereka telah digerakkan ke kawasan terjejas banjir, sekiranya ada keperluan penambahan anggota dan aset. Perkara ini akan dibuat oleh komander di lapangan. Mereka akan membuat kiraan keadaan jika memerlukan penambahan anggota atau aset, kita akan gerakkan dari negeri yang belum terjejas. Jadi, semuanya sudah bersedia", katanya.
Kekuatan anggota terkini seramai 120,000 orang adalah mencukupi sekiranya perlu digerakkan serentak untuk misi bencana banjir.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas program larian dan riadah Navy Run 24 di Dataran Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).