fb fb fb fb fb

Bangladesh berhasrat perkukuh kerjasama dengan Malaysia dalam pelbagai sektor

Ketua Penasihat Kerajaan Bangladesh, Prof. Dr Muhammad Yunus

KUALA LUMPUR, 13 Ogos - Ketua Penasihat Kerajaan Bangladesh, Prof. Dr Muhammad Yunus menyatakan hasrat untuk memperkukuh kerjasama strategik dengan Malaysia dalam pelbagai sektor, termasuk industri semikonduktor, ekonomi halal, tenaga boleh diperbaharui dan keusahawanan.

Berucap ketika menerima Ijazah Kehormat Doktor Falsafah dalam bidang Perniagaan Sosial daripada Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr Muhammad Yunus berkata hubungan antara kedua-dua negara telah lama terjalin atas dasar saling menghormati dan berkongsi aspirasi kemajuan.

“Bangladesh dan Malaysia telah berjalan seiring dalam pelbagai cara. Kita saling menyokong dalam perjalanan menuju pertumbuhan dan kemakmuran. Malaysia telah menjadi rakan yang dipercayai serta membantu kami membangunkan modal insan dan memajukan teknologi.

"Sejak bertahun-tahun, kerjasama kita berkembang dalam pelbagai bidang iaitu perdagangan, pendidikan, inovasi dan hubungan rakyat dengan rakyat. 

"Ini membuktikan betapa banyak yang boleh kita capai apabila bekerjasama dengan matlamat yang sama. Tetapi saya percaya ini hanyalah permulaan. Ketika Bangladesh melangkah ke era baharu, kami mahu memperdalamkan lagi kerjasama dengan Malaysia.” ujarnya.

Beliau yakin dengan memperkukuh kerjasama dalam pendidikan, penyelidikan, perdagangan dan pelaburan, Bangladesh dan Malaysia mampu menjadi model pembangunan mampan di rantau ini.

Dr Muhammad Yunus turut menekankan bahawa kerjasama rentas sempadan amat penting dalam menghadapi cabaran global seperti perubahan iklim, ketidaksamaan dan kemajuan teknologi yang pesat.

Majlis penganugerahan berlangsung di Dewan Canselor Tun Abdul Razak, UKM, disempurnakan oleh Canselor UKM merangkap Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan.

Turut hadir Naib Canselor UKM, Prof. Dr Sufian Jusoh serta barisan pengurusan tertinggi universiti.

Dalam ucapannya, Dr Muhammad Yunus turut menegaskan bahawa penghormatan yang diterima itu bukan untuk dirinya semata-mata, tetapi sebagai pengiktirafan terhadap keberanian rakyat Bangladesh.

“Saya menerimanya bagi pihak rakyat Bangladesh yang telah menunjukkan kekuatan, keberanian dan harapan, khususnya golongan belia yang bangkit menentang penindasan,” katanya.

Beliau turut mengangkat perjuangan pelajar dan belia yang terkorban dalam kebangkitan rakyat pada Julai dan Ogos 2024 sebagai inspirasi untuk membina sebuah negara yang bebas daripada kemiskinan, kelaparan dan pengangguran.

Dr Muhammad Yunus, yang terkenal sebagai pengasas Grameen Bank dan pelopor konsep mikro-kredit, menegaskan bahawa kemiskinan bukan berpunca daripada kekurangan bakat atau impian, tetapi kerana sistem yang tidak memberi peluang sama rata kepada semua.

ROSLINA BINTI DIN