fb fb fb fb fb

153 pelajar Henry Gurney ikuti program TVET

Foto FB Sekolah Henry Gurney Melaka

KUALA LUMPUR, 13 Ogos - Seramai 153 pelajar Sekolah Henry Gurney mengikuti Program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), setakat 30 Jun lalu.
 
Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah berkata, ia sejajar dengan matlamat program pemulihan pelbagai sektor, iaitu memberikan peluang kedua kepada pesalah muda. 

"Daripada jumlah itu, 126 pelajar Teluk Mas mengikuti TVET melalui pensijilan SKM Tahap 1 dan 3 melalui latihan pastri, elektrik, ritma berkumpulan serta instrumen bertali, manakala 27 penghuni sekolah Henry Gurney Keningau mengikuti latihan TVET dalam bidang publikasi logam dan pengeluaran tanaman," katanya dalam sesi soal jawab persidangan Dewan Rakyat.

Sehingga 9 Julai lalu, terdapat 655 pelajar di empat buah sekolah Henry Gurney beroperasi bawah Jabatan penjara Malaysia, iaitu Sekolah Henry Gurney Teluk Mas, Melaka; Sekolah Henry Gurney Wanita di Kota Kinabalu dan Sekolah Henry Gurney Keningau di Sabah; serta Sekolah Henry Gurney Puncak Borneo di Kuching, Sarawak.

MASNIZA AWANG KECHIK