SRI AMAN, 16 September - Bangga menjadi rakyat Malaysia tidak bermakna individu tersebut hilang identiti kenegeriannya.
Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak Datuk Seri Roland Sagah Wee Inn menekankan rakyat Sarawak perlu berasa bangga memanggil diri sebagai warga Malaysia kerana ia sebenarnya melambangkan cerminan penduduk Sarawak untuk berkongsi aspirasi, harapan dan impian bersama negeri-negeri lain dalam mewujudkan sebuah negara bangsa.
Beliau yang juga menteri yang bertanggungjawab dalam sambutan Hari Malaysia Peringkat Sarawak 2024 memberitahu demikian dalam ucapannya pada Majlis Perhimpunan Hari Malaysia Peringkat Sarawak 2024 di Sri Aman pagi tadi.
Katanya, ia penting bagi membolehkan negara dapat bergerak dengan satu suara, satu tekad dalam usaha mengecapi kemakmuran ekonomi dan kesejahteraan sosial bersama-sama.
"Semangat kebersamaan pastinya, akan mematangkan rakyat Sarawak yang berbilang kaum dan agama tentang konsep bernegara berteraskan Rukun Negara yang telah sekian lama menjadi tonggak kenegaraan dan falsafah hidup setiap warga Malaysia", ujarnya.
Dalam pada itu, beliau menambah pengetahuan tentang sejarah penubuhan Malaysia sangat penting untuk difahami kerana bangsa yang berjaya, adalah bangsa digerak oleh generasinya yang celik sejarah.
Jelasnya, penghayatan dan pemahaman perjalanan sejarah Malaysia akan membentuk jati diri yang kental dan sekaligus menzahirkan identiti anak Malaysia yang memiliki semangat kenegaraan kuat.