fb fb fb fb fb

Wan Junaidi: Rakyat Sarawak diseru hayati peranan MA63 dalam Pembentukan Malaysia

Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar dan isteri Toh Puan Fauziah Mohd Sanusi tiba di Simanggang untuk Sambutan Hari Malaysia Peringkat Sarawak 2024/Foto Facebook Wan Junaidi

KUCHING, 16 September – Rakyat Sarawak di negeri ini diseru untuk menghargai sejarah pembentukan negara, khususnya peranan Sarawak dalam penggabungan yang berlaku melalui Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata penggangbungan tiga wilayah – Persekutuan Tanah Melayu, Sarawak, dan Sabah – telah menjadikan Malaysia sebuah negara yang lebih besar, stabil, dan berkembang maju secara berimbang.

Tegasnya, dokumen penting seperti MA63, Memorandum Jawatankuasa Perundingan Solidariti Malaysia, Laporan Suruhanjaya Cobbold, Laporan Jawatankuasa Antara Kerajaan (IGC Report) adalah asas utama yang dipersetujui bersama ketika pembentukan Malaysia.

"Ini termasuk Akta Malaysia 1963 (UK), Akta Malaysia 1963 (Tanah Melayu), Perjanjian tambahan kepada Perjanjian Malaysia 1963 dan Perlembagaan Persekutuan Malaysia 1963.

"Sebagaimana fakta sejarah Persekutuan Tanah Melayu mencapai kemerdekaan pada tahun 1957, begitulah juga penubuhan Malaysia tahun 1963 berasaskan dokumen-dokumen Perlembagaan yang sudah bersemadi di dalam Perlembagaan Persekutuan yang seharusnya tidak dipertikaikan," katanya.

Beliau berkata demikian dalam perutusan sempena Sambutan Hari Malaysia ke-61 hari ini.

Beliau turut menyeru rakyat untuk menghormati sistem demokrasi berparlimen dan Raja Berperlembagaan yang menjadi teras kepada penyatuan Tanah Melayu, Sabah, dan Sarawak.

Menurutnya, sistem ini telah menjamin kestabilan dan keharmonian negara sejak 1963.

“Marilah kita menjunjung aspirasi Malaysia dengan memahami dan menghargai sejarah ini. Jangan biarkan perpecahan merosakkan keharmonian yang telah lama kita bina bersama,” katanya.

Sarawak, sebagai salah satu wilayah utama dalam pembentukan Malaysia, diingatkan agar terus memainkan peranannya dalam mengekalkan perpaduan dan kestabilan negara.

GRACE AISYAH KEDAYAN