LANGKAWI, 11 Oktober-Banci Pertanian 2024 yang berakhir semalam mencatatkan capaian melebihi 100 peratus, iaitu 105 peratus.
Hasil bancian akan menjadi asas kepada penyediaan indikator keterjaminan makanan dan pembangunan Pangkalan Data Statistik Pertanian Bersepadu (MySAgR).
Pesuruhjaya Banci, Dato’ Sri Dr. Mohd Uzir Mahidin berkata banci yang merangkumi isi rumah dan pertubuhan di seluruh negara itu penting sebagai penanda aras kepada penyediaan data sekuriti negara.
Jelasnya, data yang diperoleh akan dikemaskini secara berkala dan berterusan untuk merangka dasar yang lebih tepat dan berkesan bagi masa depan sektor pertanian negara.
Empat subsektor utama dalam Banci Pertanian meliputi Tanaman, Ternakan, Perikanan dan Akuakultur serta Perhutanan dan Pembalakan.
"Supaya indicator sekuriti makanan negara dipertingkatkan. Mungkin sekarang kita dah ada SSR jadi, walaubagaimanapun ada indikator-indikator lain termasuk 'accessibility' dan juga apakah cabaran dalam sektor pertanian itu perlu kita bangunkan termasuklah kita akan bangunkan indikator berkaitan dengan 'food lost' dan juga pembaziran makanan", katanya demikian dalam sidang media pada hari pertama Mopping-Up di sini.
Mopping-Up akan dilaksanakan dalam tempoh 2 miggu bermula 11 hingga 24 Oktober 2024.
Banci Pertanian yang diadakan semula selepas 19 tahun tidak dilakukan iaitu kali terakhir pada tahun 2005 ditutup secara rasmi semalam (Khamis).