PUTRAJAYA, 22 Ogos – Balai Bomba dan Penyelamat Gohtong Jaya di Genting Highlands bakal dibina melalui kerjasama strategik awam-swasta dan dijangka siap pada 2027.
Menurut Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Datuk Seri Nor Hisham Mohamad, ketika ini Genting Malaysia Berhad (GenM) sedang melaksanakan proses awal termasuk pelantikan kontraktor bagi menjayakan projek tersebut.
Menurut beliau, pihak GenM memohon tempoh lanjutan pembinaan berikutan faktor teknikal dan keadaan pembangunan di Genting Highlands yang agak mencabar.
"Untuk pembangunan ini kita beri laluan khas kepada GenM, mereka mohon tempoh 24 bulan. Insya-Allah, projek ini akan siap dalam tempoh dua tahun dari sekarang,” katanya selepas menghadiri Majlis Perhimpunan Bulanan JBPM di Putrajaya.
Sebelum ini, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming memaklumkan Balai Bomba dan Penyelamat Gohtong Jaya akan dibina di kawasan seluas dua ekar melalui kaedah kerjasama strategik awam-swasta yang pertama.
Projek pembangunan balai dan kuarters itu diluluskan pada 2021 di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) dengan sebahagian kos ditanggung kerajaan dan selebihnya melalui inisiatif Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) Genting Malaysia Berhad.