fb fb fb fb fb

Bajet 2023: Tanaman makanan jangka pendek bantu peneroka jana pendapatan

KUALA LUMPUR, 8 Oktober- Program Pembangunan Semula Hasil Baharu dikalangan pekebun kecil untuk meneroka pendapatan tambahan mendapat reaksi positif warga peneroka di Pahang.

Rata-rata mereka menyifatkan langkah kerajaan untuk memberi fokus kepada tanaman makanan jangka pendek dapat membantu warga peneroka menjana pendapatan tambahan.

Ia sekaligus mengurangkan kebergantungan kepada hasil tanaman kelapa sawit.

"Bila kita dengar pembentangan bajet semalam, memang patut generasi kedua atau pun peneroka-peneroka mengusahakan tanaman kontan. Terima kasih kepada kerajaan kan kerana bajet tahun ni memang terbaiklah untuk tahun 2023. Jadi dengan tanaman kontan tu boleh menambah menjana pendapatan untuk generasi kedua atau peneroka dan kita boleh menggunakan tanah itu secara maksimum," kata peneroka felda Bukit Kuantan, Halid Hamidi

Sementara itu, cadangan kerajaan menerusi belanjawan 2023 untuk mempergiat usaha mempromosi kempen menangani Anti Minyak Sawit turut diterima warga peneroka.

"Dengan terlaksana kempen menggalakkan hasil sawit ini maka peneroka akan mendapat hasil yang lebih mendapat pendapatan yang lebih daripada kempen-kempen tersebut . Jadi ini satu berita yang baik untuk para peneroka di Malaysia,” kata peneroka felda Bukit Kuantan, Rozilawati Muhammad


(Ketua peneroka felda Bukit Kuantan, Datuk Mohd Rosmi Mohamad)

"Seperti kita maklum, kita di war-warkan berita Anti Minyak Sawit. Penerangan yang telah dibentangkan tadi saya percaya akan meningkatkan hasil yang tinggi kepada peneroka kembali, melalui penghasilan penjualan pengeksportan kelapa sawit di luar negara. Selain itu juga saya melihat bajet pada tahun 2023 dari segi peningkatan pendapatan peneroka dapat melalui penanaman lain selain daripada sawit kepada peneroka," kata ketua peneroka felda Bukit Kuantan, Datuk Mohd Rosmi Mohamad

Menerusi Belanjawan 2023 yang telah dibentangkan oleh Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, sektor agrikomoditi menyumbang RM20.4 billion kepada keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada suku kedua 2022.

Melihat kepada peningkatan yang memberansangkan dalam sektor itu, kerajaan memperuntukkan RM2.6 bilion kepada agensi Felda, Felcra dan Risda untuk tahun 2023.

Media Baharu