fb fb fb fb fb

Polis sahkan bom mortar ditemui berhampiran kediaman penduduk

KUALA KANGSAR, 19 Mei - Polis Perak mengesahkan penemuan objek dipercayai bom di Kampung Kandang Hilir, Kuala Kangsar, semalam.

Bom jenis mortar itu bagaimanapun tidak mengandungi bahan letupan dan telah selamat dipindahkan.

Ketua Polis Daerah Kuala Kangsar Asisten Komisioner Heisham Harun berkata, laporan mengenai kejadian diterima kira-kira 7 petang semalam.

Pengadu mendakwa telah menjumpai objek dipercayai bom dalam kawasan semak, kira-kira 30 meter dari rumahnya.

Kawasan itu kemudian ditutup bagi tujuan keselamatan sebelum Cawangan Persenjataan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Kangsar dibantu Unit Pemusnah Bom Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK)  Perak tiba bagi tindakan lanjut.

Siasatan mendapati objek tersebut adalah jenis mortar bom 60mm dan tidak mengandungi bahan letupan.

Bom tersebut kemudian dibawa ke Pengkalan Unit Pemusnah Bom IPK Perak untuk tindakan lanjut. 

NORZAINAH ZAINAL ABIDIN