fb fb fb fb fb

Bajet 2023: RM2.55 bilion fokus kesejahteraan, infrastruktur luar bandar, Sabah dan Sarawak

KUALA LUMPUR, 7 Oktober - Bagi memastikan kesejahteraan rakyat luar bandar, kemudahan infrastruktur akan terus ditambah baik khususnya kepada Sabah dan Sarawak.

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz, berkata sebanyak RM2.55 bilion diperuntukan kerajaan pada tahun hadapan meliputi lima projek di seluruh negara.

Antaranya, projek jalan luar bandar dan jalan perhubungan desa hampir 500 kilometer berjumlah RM1.5 bilion.

"Bantuan itu akan memanfaatkan lebih 110 ribu penduduk antaranya dari Kampung Orang Asli Bawong Kuala Kangsar ke Rancangan Penempatan Semula Kemar, Perak," katanya pada pembentangan Bajet 2023 di Dewan Rakyat, hari ini.

Bagi Projek Bekalan Elektrik Luar Bandar pula, sebanyak RM472 juta diperuntukan yang akan memanfaatkan penghuni 2,100 buah rumah.

Manakala, RM381 juta diperuntukan bawah Projek Bekalan Air Luar Bandar dan Bekalan Air Alternatif yang memberi manfaat penghuni 4,800 buah rumah antaranya di Ladang RISDA Palong di Jempol, Negeri Sembilan.

Tengku Zafrul berkata untuk penyelenggaraan dan pemasangan 6,800 unit lampu baharu pula, sebanyak RM123 juta diperuntukkan bawah Projek Lampu Jalan Kampung.

Sementara itu untuk menggantikan jambatan yang uzur serta tidak selamat, kerajaan memperuntukan RM54 juta untuk kerja-kerja awalan bagi membina 85 jambatan baharu.








Media Baharu