PUCHONG, 13 April- Pengurusan Masjid Nurul Huda, Puchong sedang mengumpul dana tambahan bagi menggantikan siling dan permaidani masjid berkenaan yang rosak ekoran kejadian ribut pada 30 Mac lalu.
Nazir Masjid Nurul Huda, Nasuruddin Mohamed berkata kejadian ribut itu menyebabkan sebahagian besar bumbung di ruang solat lelaki dan wanita diterbangkan ribut.
Katanya, keadaan itu menyebabkan ada siling yang runtuh manakala permaidani di masjid berkenaan basah apabila ruang solat lelaki dan wanita dipenuhi dengan air.
"Daripada struktur masjid yang berusia 20 tahun ini, pertama sekali sudah tentu selagi struktur di bahagian bumbung tidak dapat dibaik pulih sepenuhnya, maka sudah tentu bahagian dalaman iaitu siling dan juga pendawaian tidak boleh dilakukan."
"Jadi, langkah yang pertama kita mengharapkan sekiranya adalah mana-mana pihak yang prihatin terhadap Masjid Nurul Huda ini, dapat membantu menyelesaikan permasalahan di bahagian bumbung terlebih dahulu. Sekiranya masalah bumbung ini dapat diatasi dengan segera, maka langkah kedua sudah pasti kita nak buat bahagian dalaman," kata Nasuruddin kepada pemberita, hari ini.
Menurutnya, pihak Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) juga telah mengambil tindakan pantas susulan kejadian ribut dengan melantik pihak kontraktor dan bumbung yang tercabut telah dibaiki secara sementara.
Pembaikan siling masjid berkenaan adalah penting bagi memastikan keselesaan jemaah dan dapat mengelak ruang solat dicemari dengan najis cicak.
Mereka yang berhasrat menghulurkan sumbangan boleh menyalurkan menerusi akaun Affin Bank Masjid Nurul Huda: 1056 3000 1219.