fb fb fb fb fb

Bacaan Sungai Padang Terap semakin naik melebihi paras bahaya

ALOR SETAR, 10 Oktober- Sungai Padang Terap, di Kampung Kubu dalam daerah Padang Terap terus mencatat kenaikan bacaan melebihi paras bahaya iaitu 14.07 meter setakat pukul 8.00 pagi ini berbanding 13.79 meter, semalam.

Ketua Bahagian Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kedah, Mejar (PA) Muhammad Suhaimi Mohd Zain berkata, bacaan itu jauh melepasi paras bahaya yang ditetapkan iaitu 13.02 meter.

Beliau berkata peningkatan paras air sungai itu disebabkan faktor hujan di beberapa kawasan sekitar itu malam tadi namun hujan telah pun berhenti di daerah Padang Terap.

“Sementara itu, tiga sungai di tiga daerah masih merekodkan paras air melebihi tahap waspada iaitu Sungai Perik di daerah Padang Terap (11.76m); Sungai Anak Bukit di Kota Setar (2.29m) dan Empangan Beris di Sik dengan 84.10 meter,” katanya kepada Bernama, hari ini.

(Anggota APM Kedah melakukan pemantauan di sekitar Sungai Anak Bukit berikutan air sungai
mencatatkan paras waspada setakat pukul 12.00 tengah hari semalam / Foto BERNAMA)

Dalam pada itu, beliau berkata sebuah pusat pemindahan sementara (PPS) yang dibuka di Baling, pada pukul 2.00 petang semalam di Kompleks Rakan Muda kini menempatkan 154 mangsa daripada 49 keluarga setakat pagi ini.

“Sebanyak 28 kampung terjejas akibat banjir antaranya Kampung Temusu, Kampung Dusun, Kampung Iboi, Kampung Memali, Kampung Tualang dan beberapa kampung lain yang terletak berdekatan kawasan sungai itu,” katanya. -BERNAMA

Media Baharu