PUTRAJAYA, 9 Jun - Malaysia menzahirkan kebimbangan yang mendalam terhadap penahanan kru kapal flotila Madleen yang sedang melaksanakan misi kemanusiaan secara aman menuju ke Gaza.
Dalam satu kenyataan pada Isnin, Kementerian Luar yang juga dikenali sebagai Wisma Putra, menyatakan bahawa misi itu bertujuan untuk membuka laluan bagi penghantaran bantuan kemanusiaan yang amat diperlukan oleh rakyat Gaza yang terus berdepan kebuluran akibat sekatan tidak berperikemanusiaan yang dikenakan oleh rejim Zionis Israel.
“Tindakan memintas dan mengganggu kru flotila tersebut jelas menunjukkan tindakan yang disengajakan dan kejam bagi menghalang bantuan kemanusiaan yang akan memberikan sedikit kelegaan kepada mereka yang paling terjejas - termasuk kanak-kanak, wanita, dan warga emas.
“Sekatan ke atas Gaza merupakan satu bentuk kezaliman yang keji dan tidak dapat diterima oleh nilai-nilai kemanusiaan sejagat. Malaysia menegaskan bahawa masyarakat antarabangsa tidak boleh berdiam diri dan wajar bersatu menentang tindakan yang melanggar prinsip keadilan, maruah, dan hak asasi manusia ini,” menurut kenyataan itu.
Malaysia sekali lagi menggesa masyarakat antarabangsa supaya segera mendesak rejim Zionis Israel menghentikan sekatan kejam tersebut dan membenarkan penyampaian bantuan kemanusiaan tanpa sebarang halangan kepada rakyat Gaza.
Anadolu Ajansi melaporkan bahawa kapal layar Madleen sepanjang 18 meter itu memulakan pelayaran ke Gaza pada 1 Jun dari Pelabuhan San Giovanni Li Cuti di Catania, Sicily, Itali, sebagai sebahagian daripada misi terkini anjuran Freedom Flotilla Coalition bagi memecahkan sekatan ke atas Gaza dan menghantar bantuan ke wilayah itu.
Seramai 12 individu berada di atas kapal Madleen, terdiri daripada 11 aktivis dan seorang wartawan.
Menurut penganjur, kapal itu membawa bekalan penting yang amat diperlukan penduduk Gaza, termasuk susu formula bayi, tepung, beras, lampin, tuala wanita, kit penyahgaraman air, bekalan perubatan, tongkat sokongan serta anggota palsu untuk kanak-kanak. - BERNAMA