fb fb fb fb fb

ATM sedia beri kerjasama penuh siasatan kematian Syamsul Haris

Kematian Allahyarham Syamsul Haris Shamsuddin

PORT DICKSON, 4 Disember - Angkatan Tentera Malaysia (ATM) akan memberi kerjasama sepenuhnya dalam siasatan berhubung kematian Allahyarham Syamsul Haris Shamsuddin, yang kini diklasifikasi oleh Jabatan Peguam Negara (AGC) sebagai kes bunuh.

Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Mohd Nizam Jaffar berkata, prosedur operasi standard (SOP) turut dilihat semula, namun setakat ini pihaknya tidak melihat terdapat sebarang kekurangan dalam SOP latihan dilaksanakan.

“Ini kes terpencil, dan kita sendiri belum pasti di mana letaknya kesalahan. Jadi, ATM bukan sesuatu yang menakutkan, sebaliknya satu langkah dan pengorbanan untuk kepentingan negara.

"Kerjaya kami ini unik, bukan kerja pukul 9.00 pagi hingga 5.00 petang, dan tidak boleh dibandingkan dengan tugasan lain. Para ibu bapa tidak perlu berasa takut, saya sendiri juga seorang bapa, jadi saya faham perasaan itu," katanya pada Sidang Media selepas menyempurnakan Perbarisan Penganugerahan Pingat Perkhidmatan Negara Bangsa-Bangsa Bersatu (PNBB) dan Pembubaran Malaysian Battalion (MALBATT) 850-12 di Port Dickson.

Pihaknya menentang perbuatan buli namun mengakui latihan yang dijalankan agak keras pada pandangan mata masyarakat.

Beliau menegaskan, supaya ibu bapa tidak perlu berasa risau untuk menghantar anak mereka menjalani latihan ketenteraan berikutan latihan yang dilaksana menjurus kepada pembentukan keperibadian dan ketahanan diri.

Kontinjen MALBATT 850-12 diketuai oleh Kolonel Johan Effendi bin Hj Mohd Shalleh dan merangkumi 852 anggota, terdiri daripada 82 pegawai dan 770 anggota Lain-Lain Pangkat (LLP).

MARDHIYAH MOHAMMED ZIN