PASIR MAS, 3 Disember- Angkatan Tentera Malaysia (ATM) menerusi Operasi Murni (Op Murni) bersiap siaga untuk menghadapi gelombang banjir seterusnya di pantai timur.
Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, perkara itu bagi menyokong bantuan pihak berkuasa awam selain memindahkan penduduk terjejas banjir.
"Secara umum kerja tentera sebelum bencana adalah melakukan tinjauan ke kawasan berpotensi banjir. Ia bagi memastikan kawasan selamat dapat dikenal pasti serta dapat melakukan tugas-tugas menyelamat lebih lancar.
"Apabila berlaku banjir tentera akan terlibat dengan memindahkan penduduk terjejas dan apabila keadaan mula reda dan selesai tentera akan melakukan kerja-kerja pembersihan serta pemulihan di kawasan terjejas," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melawat kawasan Operasi Murni (Op Murni) banjir di pusat pemindahan sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan (SK) Gual Tinggi di sini.
Mohamad Khaled turut memaklumkan kementerian itu sentiasa bersedia dan memberikan komitmen terbaik bagi memastikan tiada pertindihan tugas dengan mana-mana agensi terlibat dalam melaksanakan tugasan masing-masing.
Dalam pada itu, beliau mahu penduduk terjejas memainkan peranan dalam memberikan kerjasama kepada setiap arahan yang dikeluarkan bagi memastikan tiada kejadian tidak diingini berlaku.