
KRABI, 24 Januari – Akademi Transformasi Asnaf Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis, MAIPs (ATAM) perlu berperanan sebagai sebuah institusi strategik yang benar-benar mentransformasikan golongan asnaf daripada kebergantungan kepada keupayaan, selaras dengan hala tuju pembangunan negeri Perlis.
- ATAM mesti jadi institusi strategik yang mentransformasikan asnaf dari kebergantungan ke keupayaan dan sumbangan kepada ekonomi.
- Peranan ATAM bukan sekadar program jangka pendek tetapi melahirkan asnaf berdaya saing, berdikari dan bermaruah.
- Hala tuju 2026-2030 perlu jelas, berfokus dan berpaksikan impak sebenar terhadap kehidupan asnaf di Perlis.
- Perkukuh tadbir urus, pemantauan, penilaian serta penggunaan data untuk memastikan dana diuruskan amanah, telus dan berkesan.
Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah, penubuhan ATAM tidak seharusnya terhad kepada pelaksanaan latihan atau program jangka pendek semata-mata, sebaliknya perlu berfungsi sebagai institusi unggul yang melahirkan asnaf berdaya saing, berdikari dan akhirnya mampu menjadi penyumbang kepada masyarakat serta ekonomi.
Menurut baginda, transformasi tersebut penting bagi memastikan golongan asnaf tidak kekal sebagai penerima bantuan, sebaliknya memiliki keupayaan untuk membina kehidupan yang lebih stabil, bermaruah dan mampan.
Baginda bertitah, hala tuju ATAM bagi tempoh lima tahun, iaitu dari 2026 hingga 2030, perlu jelas, berfokus serta berpaksikan kepada impak sebenar terhadap kehidupan asnaf di negeri Perlis, seiring dengan hala tuju strategik MAIPs.
Selain itu, Tuanku Syed Faizuddin turut menekankan kepentingan memperkukuh aspek tadbir urus, pemantauan dan penilaian dalam setiap pelaksanaan program di bawah ATAM.
“Setiap program perlu diukur berdasarkan hasil dan impak, bukan sekadar bilangan penyertaan atau perbelanjaan. Data, analisis dan maklum balas perlu dimanfaatkan bagi menambah baik pendekatan sedia ada serta memastikan dana yang disalurkan diuruskan dengan baik, amanah, telus dan berkesan,” titah baginda.
Baginda bertitah demikian pada Perasmian Mesyuarat Khas Ahli Lembaga Pengarah Akademi Transformasi Asnaf MAIPs (ATAM) Hala Tuju 2026-2030 yang berlangsung di Hotel Grand Mercure, Ao Nang, Thailand.
Dalam pada itu, baginda turut menasihatkan agar ATAM memberi penekanan serius terhadap pembangunan modal insan secara menyeluruh, termasuk pelaksanaan program berasaskan kemahiran sebenar, keusahawanan, kebolehpasaran pekerjaan serta literasi kewangan dan digital.
Langkah tersebut, titah baginda, penting bagi memastikan golongan asnaf mampu bersaing dan hidup berdikari dalam jangka panjang.