ASEAN perlu kekal Zon Aman, Bebas dan Berkecuali (ZOPFAN)

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin menyampaikan ucapan pembukaan pada Persidangan Undang-Undang dan Operasi Ketenteraan Antarabangsa (MILOPS 26) ke-37 – Foto Bernama

KUALA LUMPUR, 3 Ogos – Malaysia menegaskan Asia Tenggara perlu terus kekal sebagai Zon Aman, Bebas dan Berkecuali (ZOPFAN) bagi memastikan keamanan dan kestabilan rantau terus terpelihara.

RINGKASAN BERITA AI
  • ZOPFAN inisiatif dipelopori kerajaan Tun Abdul Razak pada 1971.
  • Keamanan berterusan membolehkan pelaburan, kerjasama, pembangunan dan keyakinan serantau.
  • Perjanjian Persahabatan dan Kerjasama (TAC) teras penglibatan ASEAN; semua pihak mesti menghormati dan mempertahankannya.
  • MILOPS 26 menghimpunkan pemimpin tentera, peguam keselamatan dan pakar Indo-Pasifik untuk dialog serta tindakan kukuh.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, ZOPFAN bukan konsep baharu bagi Malaysia, sebaliknya inisiatif yang dicetuskan bawah kepimpinan Perdana Menteri kedua, Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein pada tahun 1971.

Menurutnya, keamanan yang dinikmati selama beberapa dekad ini telah membantu memajukan rantau selain membolehkan pelbagai kerjasama dicapai.

“Keamanan membolehkan kepelbagaian berkembang. Keamanan juga telah mewujudkan keyakinan bagi pelaburan, kerjasama, dan pembangunan, sekali gus membolehkan ASEAN menjadi antara organisasi serantau yang paling berjaya di dunia,” katanya.

Beliau menyatakan demikian ketika menyampaikan ucapan pembukaan pada Persidangan Undang-Undang dan Operasi Ketenteraan Antarabangsa (MILOPS 26) ke-37.

Dalam pada itu, Datuk Seri Mohamed Khaled menegaskan, mana-mana negara yang menjalinkan hubungan dengan ASEAN perlu memahami serta menghormati Perjanjian Persahabatan dan Kerjasama di Asia Tenggara (TAC).

“Sebagaimana setiap institusi mempunyai prinsip pegangannya, begitu juga dengan ASEAN. TAC merupakan teras utama bagi pembinaan sebarang penglibatan yang bermakna dengan ASEAN, dan dalam banyak sudut, TAC merupakan kod tingkah laku bagi organisasi,” katanya.

Beliau turut menegaskan semua pihak termasuk negara anggota ASEAN sendiri perlu terus menghormati dan mempertahankan TAC.

MILOPS 26 menghimpunkan lebih 300 pemimpin tentera, peguam keselamatan negara, pembuat dasar dan pakar, dari lebih 30 negara di rantau Indo-Pasifik untuk sesi dialog yang membina dan tindakan yang kukuh berhubung isu-isu penting dalam undang-undang, operasi dan dasar yang bermula hari ini sehingga 6 Ogos 2026.

Persidangan bertemakan “Daripada Dasar Laut hingga Angkasa Lepas: Memajukan Keselamatan, Kebebasan, dan Kemakmuran untuk Semua di Seluruh Indo-Pasifik” merupakan anjuran USPACOM dengan kerjasama rapat Kementerian Pertahanan Malaysia (MINDEF) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di Kuala Lumpur.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.