
KUALA LUMPUR, 3 Ogos – Sebanyak 666 kes kecurian kabel direkodkan melibatkan Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB), Prasarana Malaysia Berhad dan Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) sejak 2024, dengan kerugian dianggarkan hampir RM50 juta.
- KTMB rekod 432 kes mencuri kabel, kerugian RM16.3 juta; ganggu sistem persemboyanan, menyebabkan kelewatan operasi ETS 246 jam dan KTM Komuter 135 jam.
- Prasarana rekod 163 kes, anggaran kerugian RM29 juta; kes jejaskan kebolehpercayaan operasi MRT dan LRT, memerlukan pembaikan segera.
- ECRL catat 71 kes dan 13 kerosakan lain, kerugian RM4.75 juta; masih dalam pembinaan tetapi berisiko jejaskan jadual projek.
Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Hasbi Habibollah berkata, daripada jumlah itu, KTMB merekodkan 432 kes membabitkan kira-kira 19,756 meter kabel dengan nilai kerugian RM16.3 juta bagi tempoh 2024 hingga Jun lalu.
“Insiden tersebut telah menjejaskan sistem persemboyanan yang mengawal pergerakan tren dan menyebabkan kelewatan operasi.
“Bagi tahun 2025, kelewatan akibat insiden kecurian kabel direkodkan sebanyak 246 jam bagi perkhidmatan ETS dan 135 jam bagi KTM Komuter, manakala tiada kelewatan direkodkan bagi perkhidmatan Antarabandar,” katanya di Dewan Negara hari ini.
Bagi rangkaian rel bandar kendalian Prasarana Malaysia Berhad pula, sebanyak 163 kes kecurian kabel direkodkan dengan anggaran kerugian mencecah RM29 juta.
“Kes-kes tersebut melibatkan jajaran MRT Kajang, MRT Putrajaya serta LRT Ampang/Sri Petaling dan telah memberi kesan kepada kebolehpercayaan operasi serta memerlukan tindakan pembaikan dan penyelenggaraan segera,” katanya.
Sementara itu, sebanyak 71 kes kecurian kabel direkodkan di sepanjang jajaran ECRL sehingga 8 Jun lalu, dengan kerugian dianggarkan RM4.06 juta.
Selain itu, 13 kes kecurian serta kerosakan peralatan dan bahan lain berkaitan sistem turut dilaporkan dengan kerugian RM690,000, menjadikan jumlah keseluruhan kerugian bagi projek ECRL sebanyak RM4.75 juta.
“Walaupun ECRL masih berada dalam fasa pembinaan dan belum melibatkan gangguan perjalanan kepada pengguna, insiden tersebut berpotensi menjejaskan jadual pelaksanaan projek termasuk kerja-kerja pemasangan, pengujian, pentauliahan dan persediaan operasi,” katanya.
Hasbi berkata demikian ketika menjawab soalan Senator Datuk Wira Dr Mohd Hatta Md Ramli yang meminta Kementerian Pengangkutan menyatakan jumlah kes kecurian kabel yang menyebabkan gangguan perjalanan perkhidmatan rel.