KUALA LUMPUR, 20 Ogos - Usaha ASEAN memperkasa peralihan tenaga, pengurusan air lestari serta pembinaan infrastruktur berdaya tahan iklim perlu berpandukan prinsip Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG).
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata ESG perlu dijadikan panduan kepada kerajaan dalam merangka undang-undang dan menguatkuasakan standard institusi.
“Apabila ASEAN bergerak ke arah tenaga bersih, pengurusan air yang lebih baik dan infrastruktur yang tahan iklim, ESG tidak boleh hanya dilihat sebagai laporan syarikat. ESG perlu jadi panduan bagaimana kerajaan membuat peraturan, bagaimana institusi menguatkuasakan standard, dan bagaimana pasaran menghargai amalan bertanggungjawab.
“Untuk mencapai kejayaan, kita memerlukan sistem tadbir urus yang seiring dengan matlamat iklim, menjaga perlindungan sosial serta menuntut akauntabiliti. Ini memerlukan sistem keadilan dan mekanisme penyelesaian pertikaian yang mudah diakses, cekap dan adil,” katanya ketika berucap pada Forum Undang-Undang ASEAN di ibu negara.
Beliau menegaskan sektor tenaga tidak boleh dikompromi bagi memastikan reformasi ekonomi dan alam sekitar dilaksanakan secara adil serta inklusif.
Pada masa sama, beliau berkata forum berkenaan menjadi platform penting untuk mencari penyelesaian praktikal dalam memperkukuh kerjasama, sekali gus memacu pertumbuhan rantau ini.