fb fb fb fb fb

AS, Korea Selatan balas 8 peluru berpandu Korea Utara

(Foto hiasan/REUTERS)

SEOUL, 6 Jun- Korea Selatan dan Amerika Syarikat (AS) hari ini, melancarkan lapan peluru berpandu di luar pantai timur Korea Selatan sebagai tindak balas kepada pelancaran peluru berpandu balistik jarak dekat republik itu semalam, lapor agensi berita Yonhap.

Tentera Korea Selatan, seperti dilaporkan Yonhap, berkata ia adalah demonstrasi 'keupayaan dan kesediaan membuat serangan tepat' terhadap sumber pelancaran peluru berpandu atau pusat arahan dan sokongan Korea Utara.

Katanya, lapan peluru berpandu dilepaskan tentera Korea Selatan dan AS ke udara kira-kira 10 minit mulai pukul 4.45 pagi tadi sebagai tindak balas kepada lapan peluru berpandu dilepaskan Korea Utara semalam.

Peluru berpandu balistik jarak dekat Korea Utara, yang dilepaskan ke arah laut di luar pantai timur semalam, mungkin ujian tunggal terbesar, sehari selepas Korea Selatan dan AS menamatkan latihan ketenteraan bersama.

Gabungan tentera Korea Selatan dan AS bulan lalu, melepaskan peluru berpandu sebagai tindak balas kepada pelancaran peluru berpandu balistik Korea Utara.


(Sistem Peluru Berpandu Taktikal Tentera (ATACMS) menembak peluru berpandu pada 6 Jun 2022,
dari lokasi yang tidak didedahkan di pantai timur Korea Selatan semasa latihan
tembakan langsung bersama Korea Selatan-AS/
AFP)

AS dan Korea Utara mendakwa tindakan Korea Utara itu melanggar resolusi Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNSC).

Presiden Korea Selatan, Yoon Suk-yeol, yang baru memegang jawatan bulan lalu, berikrar untuk mengambil tindakan lebih tegas terhadap Korea Utara.

Antara lain, beliau bersetuju dengan Presiden AS, Joe Biden, pada sidang kemuncak Mei di Seoul untuk meningkatkan latihan ketenteraan bersama dan gabungan strategi pencegahan mereka. -REUTERS

Media Baharu