fb fb fb fb fb

Aktiviti menyumbang kesesasakan di pusat bandar raya Kuala Lumpur, dikenakan tindakan

SEREMBAN, 6 Jun - Kementerian Wilayah Persekutuan tidak akan berkompromi dengan pihak yang menggunakan kenderaan berat untuk memasuki laluan waktu terhad ke pusat bandar raya Kuala Lumpur pada waktu puncak.

Timbalan Menterinya, Datuk Seri Jalaluddin Alias memaklumkan pihaknya telah meminta penguat kuasa Dewan Bandar Raya Kuala Lumpur (DBKL) untuk meningkatkan pemantauan agar dapat menghalang kemasukan kenderaan berat pada waktu tersebut yang akan menyebabkan kesesakan lalu lintas.

Tambahnya kerja-kerja baik pulih yang tidak sewajarnya berlaku pada waktu puncak selain, orang ramai yang meletakkan kenderaan di tempat tidak sepatutnya dan peniaga yang menjalankan perniagaan yang menyumbang kepada kesesakan juga akan diambil tindakan.

(Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Jalaluddin Alias)

"Saya sudah minta pihak penguat kuasa terutamanya pihak DBKL supaya melakukan, melipat kali gandakan lagi penguatkuasaaan kita, untuk memastikan perkara ini dapat kita cegah 100%. Kerana antara penyumbang kepada kesesakan yang melampau sekarang ialah kemasukan kenderaan berat yang tidak terkawal sejak akhir-akhir ini," kata Jalaluddin di sini.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Jelebu berkata demikian selepas merasmikan Program Pengimarahan Masjid Kariah Pantai di sini.

Terdahulu Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) melarang semua pengendali syarikat atau pemandu kenderaan barangan membabitkan kenderaan berat dengan muatan melebihi 7,500 kilogram memasuki jalan raya utama di Kuala Lumpur dari pukul 6.30 pagi hingga 9.30 pagi dan 4.30 petang hingga 7.30 malam setiap hari.

Media Baharu