fb fb fb fb fb

Anwar tiba di Hainan, lawatan rasmi 2 hari

HAINAN, 29 Mac- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, tiba di Hainan, China untuk lawatan rasmi dua hari sempena Forum Boao untuk Asia (BFA) 2023.

Pesawat Khas yang membawa Perdana Menteri tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Boao pada pukul 5.30 petang waktu tempatan.

Anwar diiringi Menteri Pengangkutan, Anthony Loke serta Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Ngar Kor Ming.

Ketibaan Anwar dan delegasi disambut oleh Naib Gabenor Hainan, Chen Huaiyu, Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir, Duta Besar Malaysia ke China, Datuk Nushirwan Zainal Abidin dan Konsulat Jeneral Malaysia ke Guangzhou, Suraya Ahmad Pauzi.

Acara pertama beliau ialah menghadiri Majlis Iftar bersama komuniti muslim di Hainan dan kira-kira 70 orang delegasi Malaysia yang menyertai BFA 2023 di Hotel Boao Golden Coast.

(Foto fail)

Beliau kemudiannya dijadual menghadiri mesyuarat bersama kepimpinan tertinggi pengendali projek utama Laluan Rel Pantai Timur (ECRL), China Communications Construction Company (CCCC).

Manakala esok, Anwar dijangka akan mengadakan mesyuarat dua hala bersama Perdana Menteri Singapura Lee Tsien Loong sebelum menyampaikan ucapan pada sesi pembukaan plenary BFA 2023, yang turut dihadiri Perdana Menteri China, Li Qiang.

Media Baharu