fb fb fb fb fb

Anwar, Muhyiddin henti pertikaian peribadi, kes saman fitnah

Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Tan Sri Muhyiddin Yassin (kiri)

KUALA LUMPUR, 14 Jun- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Tan Sri Muhyiddin Yassin bersetuju menghentikan pertikaian peribadi dan prosiding kes saman fitnah.

Anwar dan Muhyiddin dalam kenyataan bersama menerusi satu hantaran di Facebook masing-masing berkata, keputusan itu dibuat setelah mempertimbangkan kesan fitnah kepada umum serta mengambil kira saranan Hakim Mahkamah Tinggi dan keadaan semasa negara.

Kenyataan bersama itu juga menyebut kedua-dua mereka bersetuju untuk tidak mengeluarkan sebarang kenyataan susulan terkait serta berharap semua pihak dapat menerima dan menghormati keputusan berkenaan.

"Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Tan Sri Muhyiddin Yassin berharap agar perkara itu tidak dijadikan bahan yang boleh mengganggu-gugat kesejahteraan dan kestabilan awam serta keyakinan rakyat kepada Institusi Kehakiman Negara," katanya.

Kedua-dua mereka juga turut merakamkan penghargaan kepada Hakim Mahkamah Tinggi dan pegawai-pegawai mahkamah terlibat.

Sebelum ini Muhyiddin menyaman Anwar RM200 juta berhubung dakwaan perdana menteri bahawa kerajaan PN sebelum ini tidak menghapuskan RM8.3 bilion hutang peneroka Felda.

Anwar yang merupakan pengerusi Pakatan Harapan turut memfailkan saman fitnah terhadap Presiden Bersatu itu berhubung dakwaannya bahawa Anwar menerima gaji RM15 juta daripada kerajaan Selangor semasa berkhidmat sebagai penasihat ekonomi negeri itu.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI