KUALA LUMPUR, 21 Mei - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan mengadakan lawatan rasmi ke Jepun dari 22 hingga 24 Mei untuk menghadiri Persidangan Antarabangsa ke-29 Masa Depan Asia (Forum Nikkei).
Beliau akan diiringi Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Mohamad Hasan, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz dan Menteri Sumber Manusia, Steven Sim Chee Keong.
Pada Forum Nikkei berlangsung Khamis, Datuk Seri Anwar dijadual menyampaikan ucaptama bertemakan “Kepimpinan Asia Di Dalam Ketidaktentuan Dunia”.
Beliau juga dijadual mengadakan mesyuarat dua hala dengan rakan sejawat, Fumio Kishida.
Kedua pemimpin akan berbincang inisiatif memperkukuh hubungan dua hala Malaysia-Jepun yang telah dinaik taraf kepada perkongsian strategik komprehensif, Disember lalu.
Antara yang bakal dibincangkan, kerjasama dalam bidang teknologi tinggi, peralihan tenaga dan alam sekitar, pertahanan dan keselamatan selain pendidikan tinggi.
Turut dibincangkan, isu serantau dan antarabangsa yang berkepentingan bersama.
Perdana Menteri juga dijadual berucap di Universiti Keio, selain mengadakan sesi libat urus dengan beberapa peneraju industri Jepun.
Sehingga 2023, sebanyak 2,810 projek oleh syarikat Jepun telah dilaksana di Malaysia dengan nilai pelaburan RM102.11 bilion menyediakan 344,120 peluang pekerjaan.
Jepun juga merupakan rakan dagang keempat terbesar Malaysia untuk sembilan tahun berturut-turut dengan jumlah perdagangan kedua-dua negara mencecah nilai RM156.64 bilion pada 2023.