LIPIS, 4 Jun- Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia (ANGKASA) mencadangkan agar semua penternak ikan di Pahang bergabung di bawah satu konsortium bagi tujuan menjaga kebajikan mereka.
Presidennya Datuk Seri Dr Abdul Fattah Abdullah berkata, Konsortium Penternak Ikan Pahang yang telah ditubuhkan turut mampu membantu membekalkan benih ikan kepada penternak di negeri itu.
Ujarnya, setakat ini ANGKASA telah menyalurkan RM500,000 bagi bekalan benih ikan terutama patin dan talapia.
"Kita minta supaya Konsortium Patin Pahang akan memainkan peranan sebagai penghubung kepada bekalan benih dan bekalan makanan.
"Ini disebabkan ANGKASA sendiri telah memberikan geran penubuhan kepada koperasi ini untuk menjalankan aktiviti. Semua digabungkan bawah Konsortium Patin dan juga koperasi-koperasi yang terlibat dalam indusri mengusahakan ikan air tawar," katanya kepada pemberita di sini.
Tambahnya, penyertaan dalam konsortium akan memudahkan agihan bekalan benih berbanding penternak yang bergerak secara solo.
Antara isu yang mendapat perhatian ketika ini berkait kekurangan ikan patin yang mengakibatkan ramai peniaga terpaksa mencari alternatif bagi menggantikan ikan sungai itu.
Beliau turut memuji tindakan Ketua Pengarah Perikanan negeri dengan meningkatkan pengeluaran benih ikan patin sebagai langkah penyelesaian segera.
(Dr Abdul Fattah Abdullah)