fb fb fb fb fb

Anggota polis maut dirempuh geng pecah rumah

Allahyarham Mohd Hafizul Izham Mazlan

ALOR SETAR, 7 Ogos - Seorang anggota polis maut selepas dirempuh kenderaan dinaiki penjenayah yang cuba melarikan diri dari sebuah rumah yang cipecah masuk suspek.

Kejadian berlaku ketika mangsa, Koperal Mohd Hafizul Izham Mazlan, 35 tahun yang bertugas di Jabatan Siasatan Jenayah, Ibupejabat Polis Kontinjen Kedah tiba di kediaman itu yang terletak di Taman Golf, di sini petang tadi.

Dalam kejadian kira-kira pukul 3.30 petang itu, polis menerima maklumat mengenai aktiviti mencurigakan di rumah berkenaan sebelum lima anggota polis termasuk mangsa diarahkan ke lokasi kejadian.

Salah seorang suspek yang memandu kereta berwarna biru bertindak merempuh mangsa yang baru keluar dari kenderaan menyebabkan mangsa meninggal dunia di tempat kejadian.

Ketua Polis Kedah, Pesuruhjaya Polis (CP) Adzli Abu Shah berkata seorang suspek berjaya ditahan di lokasi kejadian, manakala tiga lagi suspek melarikan diri menggunakan kenderaan sama.

Selepas melarikan diri, suspek meninggalkan kenderaan dinaiki yang mengalami kerosakan di hadapan sebuah bank berdekatan sebuah hotel dan merampas sebuah lagi kenderaan lain yang berada di hadapan bank tersebut untuk melarikan diri.

Bagaimanapun ketiga-tiga suspek berjaya ditahan di sekitar kawasan Kepala Batas, Jitra tidak lama kemudian.

Siasatan awal mendapati, kesemua suspek berusia antara 24 hingga 26 tahun berasal dari Johor melakukan aktiviti pecah rumah dengan bergerak antara negeri.

Salah seorang suspek mempunyai 77 rekod jenayah lampau membabitkan kes pecah rumah dan curi kenderaan.

Dua lagi mempunyai 30 rekod jenayah dan seorang lagi mempunyai dua rekod jenayah lampau.

Kes disiasat bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh dan Seksyen 457 kerana menceroboh dan pecah rumah.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI