fb fb fb fb fb

Anggap serius dakwaan aktiviti jual beli organ - KP Kesihatan

KUALA LUMPUR, 7 April- Sebarang dakwaan mengenai wujudnya kegiatan jual beli organ perlu dianggap serius oleh semua pihak.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, kegiatan berkenaan merupakan eksploitasi terhadap golongan tertentu serta bercanggah dengan etika perubatan.

Jelas beliau, sekiranya terdapat aktiviti melibatkan pemerdagangan orang untuk tujuan jual beli organ, ia perlu disiasat di bawah Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007.

Perkhidmatan pendermaan organ dan transplantasi di negara ini melibatkan pendermaan organ daripada penderma hidup atau penderma selepas kematian (kadaverik) serta penerima organ.

"Pihak berkuasa boleh menggunakan peruntukan sedia ada di bawah akta itu untuk mengambil tindakan terhadap mana-mana pihak atau individu jika pemerdagangan orang berlaku untuk tujuan pengalihan organ secara haram," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

(Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah)

Dasar Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) jelas sebagaimana dalam Akta Tisu Manusia 1974 yang mengawal selia aktiviti pengambilan organ bagi tujuan perawatan daripada penderma selepas kematian (kadaverik).

Beliau menasihati orang ramai yang berikrar sebagai penderma organ agar memaklumkan hasrat masing-masing kepada ahli keluarga bagi menjayakan perkhidmatan transplantasi beretika di negara ini.

Media Baharu