KUALA LUMPUR, 12 Disember- Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Datuk Seri Amir Hamzah Azizan, yang dijangka menyertai Kabinet yang dirombak hari ini, mengangkat sumpah sebagai Senator Dewan Negara pagi ini.
Prof Madya Dr Zulkifli Hasan turut mengangkat sumpah jawatan Senator di hadapan Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar.
Kedua- dua lantikan Yang Dipertuan Agong itu berkuatkuasa hari ini sehingga 11 Disember 2026.
Amir Hamzah yang menyertai KWSP pada tahun 2021, adalah anak sulung kepada bekas Pengerusi dan Presiden Petronas, Tun Azizan Zainul Abidin.
Sebelum dilantik sebagai Ketua Eksekutif KWSP, beliau mengetuai Tenaga Nasional Berhad sejak tahun 2019.
Pengalamannya dalam dunia korporat mencakupi lebih 27 tahun, termasuk peranan kepemimpinan dalam syarikat seperti Kumpulan Syarikat Shell, MISC Berhad, Petronas Dagangan Berhad, Petronas Lubricants International, Icon Offshore Bhd, dan Themed Attractions Resorts and Hotels Sdn Bhd.
Sementara Senator Dr. Zulkifli Hasan pula sebelum ini menggalas portfolio sebagai Dekan Fakulti Syariah dan Undang-Undang, Universiti Sains Islam Malaysia.