KUALA LUMPUR, 6 Disember – Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan amaran ribut petir, hujan lebat dan angin kencang melibatkan empat negeri serta Labuan sehingga 1 tengah hari ini.
Dalam satu kenyataan, MetMalaysia memaklumkan cuaca buruk itu dijangka melanda Pahang (Lipis, Raub, Jerantut, Temerloh, Maran dan Bera) serta Johor membabitkan kawasan Mersing dan Kota Tinggi.
"Amaran sama turut dikeluarkan bagi negeri Sarawak meliputi Kuching, Serian (Serian), Samarahan, Sri Aman (Sri Aman) dan Betong (Pusa dan Betong) serta Sabah, khususnya kawasan Pedalaman (Kuala Penyu)," menurut kenyataan itu.
Menurut MetMalaysia, amaran dikeluarkan apabila terdapat tanda-tanda berlakunya ribut petir dengan intensiti hujan melebihi 20 milimeter sejam, yang hampir atau dijangka berlaku melebihi satu jam.
Jelas agensi itu lagi, amaran ribut petir merupakan amaran jangka pendek yang berkuat kuasa untuk tempoh tidak melebihi enam jam bagi setiap keluaran.