JURU, 2 Februari - Aliran trafik di beberapa lebuh raya utama perlahan pada sebelah petang berikutan orang ramai mula pulang ke ibu kota selepas meraikan sambutan Tahun Baharu Cina.
Jurucakap PLUS Malaysia Berhad berkata aliran trafik dari utara dilapor perlahan bermula dari Sungai Petani, Kedah ke Bertam, Pulau Pinang; dan Juru ke Bukit Tambun.
Aliran trafik dari arah utara menghala ke selatan Plaza Tol Juru menunjukkan pola kesesakan berat bermula 11.30 pagi.
Kesesakan sepanjang hampir 30 kilometer dari Perai sehingga Jawi itu dipercayai berpunca dari peningkatan jumlah kenderaan pengguna yang pulang ke destinasi masing-masing selepas cuti perayaan tahun baharu cina berakhir.
PLUS menjangkakan peningkatan berterusan jumlah kenderaan dari arah tersebut sepanjang hari ini.
Bagaimanapun, dari arah bertentangan aliran trafik berada dalam keadaan lancar dan terkawal.