(Tangkap layar video muzik raya Aliff Syukri yang mencetus kontroversi/FOTO INSTAGRAM)
CYBERJAYA, 26 April- Usahawan Datuk Seri Aliff Syukri dipanggil Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) berhubung klip video muzik sempena Aidilfitri dikaitkan dengannya yang menimbulkan kontroversi baru-baru ini.
Aliff tiba di pekarangan Ibu Pejabat SKMM di sini pukul 9.58 pagi untuk memberi keterangan dan dirakam percakapan berhubung klip video muzik itu.
Usahawan itu dijangka selesai memberi keterangan pada pukul 12.30 tengah hari.
Memetik laporan Bernama semalam, Menteri Komunikasi dan Multimedia Malaysia (K-Kom) Tan Sri Annuar Musa pada Isnin berkata, individu terlibat di dalam video muzik berkenaan sudah diberi notis untuk hadir ke SKMM.
“SKMM telah teliti di peringkat awalan, dan ada sebab untuk siasatan dilaksanakan, dan dengan itu satu kertas siasatan dibuka untuk siasat perkara ini di bawah seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998,” katanya.
(Lagu "Kelepok Raya" dilancarkan untuk tontonan di Youtube sejak 5 hari lalu/FOTO INSTAGRAM ALIFF SYUKRI)
Klip video raya berkenaan yang memaparkan sekumpulan penari lelaki bersolek dan berperwatakan lembut mencetuskan pelbagai reaksi kerana dikatakan kurang sesuai untuk tontontan masyarakat lebih-lebih ketika di bulan Ramadan.