KUALA LUMPUR, 25 Jun - Akta Perkhidmatan Parlimen, (PSA) dijangka dibentangkan pada sidang Dewan Rakyat Oktober ini.
Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Dr Johari Abdul memaklumkan draf rang undang-undang itu baru sahaja selesai diluluskan dalam mesyuarat Jemaah Menteri dan tidak sempat dibentangkan pada sesi kali ini.
"Kita akan bentangkannya pada Mesyuarat Ketiga, Penggal Ketiga Parlimen yang dijadual akan bermula 14 Oktober hingga 12 Disember ini.
"Oleh itu, kita akan lihat (pembentangan rang undang-undang) pada masa itu (sesi ketiga Dewan Rakyat)," katanya.
Johari Abdul memaklumkannya dalam Majlis Pelancaran Laporan Tahunan 2023 Kumpulan Parlimen Semua Parti Mengenai Matlamat Pembangunan Mampan ( APPGM-SDG).
Berdasarkan laporan tersebut, seramai 15,656 individu menerima manfaat hasil pelaksanaan 664 projek solusi SDG dan 198 projek kebun komuniti bagi tempoh 2020 hingga 2023 melalui platform APPGM-SDG.
APPGM-SDG merupakan inisiatif rentas parti untuk melaksanakan Matlamat Pembangunan Lestari di kawasan parlimen seluruh negara.
Mac lalu Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said, berkata Pindaan Perlembagaan bagi mengembalikan semula PSA sudah 90 peratus siap dan menunggu masa untuk dibentangkan di Dewan Rakyat.
PSA mula digubal pada 1963, hanya beberapa bulan sebelum pembentukan Malaysia.