fb fb fb fb fb

Akta baharu larangan merokok masih di peringkat libat urus

(Khairy Jamaluddin dalam sidang media selepas merasmikan Hari Pendengaran Sedunia 2022 di Serdang hari ini)

SERDANG, 3 Mac - Penggubalan rang undang-undang larangan merokok dan pemilikan sebarang produk berkaitan termasuk rokok elektronik (vape) dalam kalangan generasi muda yang lahir selepas 2005 masih di peringkat sesi libat urus.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata beliau berhasrat membentangkan RUU berkenaan pada sidang Parlimen sekarang.

Namun masih terdapat beberapa peringkat libat urus yang perlu dijalankan termasuk dengan badan bukan kerajaan (NGO) dan pemain industri..

(Gambar Fail)

“Apabila semua proses selesai, akta ini akan dibentangkan sama ada sesi kali ini atau sesi akan datang.

"Jadi memang hasrat saya, insya-Allah kalau tidak dapat dibuat pada sesi kali ini, kita akan buat pada sesi yang kedua iaitu pada pertengahan tahun ini iaitu dua atau tiga bulan lagi," kata Khairy dalam sidang media selepas merasmikan Hari Pendengaran Sedunia 2022 di sini, hari ini.

Pada 17 Feb lepas beliau memaklumkan akta tersebut akan diperkenalkan bagi melindungi generasi muda daripada terdedah kepada rokok dan produk tembakau.

Tabiat merokok dan pengambilan produk tembakau merupakan faktor utama penyakit kanser dan 22% kematian.

Dalam perkembangan lain, Khairy berkata pihaknya sedang mendapatkan pandangan penasihat undang-undang berhubung kesesuaian masa bagi membentangkan laporan Jawatankuasa Siasatan Bebas Insiden Kebakaran Hospital Sultanah Aminah (HSA), Johor Bahru kepada umum.

 

Media Baharu