SEPANG, 2 Februari- Penubuhan Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) adalah relevan dalam mengawal selia operasi di pintu masuk seluruh negara.
AKPS bertindak sebagai agensi tunggal di sempadan, menyatukan kepakaran dan sumber daripada pelbagai jabatan kerajaan.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata penubuhan agensi di bawah Kementerian Dalam Negeri (KDN) itu penting dalam mempertingkat perkongsian maklumat dan pemantauan lebih efisien agar sempadan kekal selamat.
Jelasnya, usaha itu turut dapat menyelesaikan isu pertindihan fungsi antara agensi.
"Kita ingin melihat perubahan kepada sistem penyampaian perkhidmatan kerajaan di pintu masuk, proses kerja yang lebih mudah dan ringkas. Karenah birokrasi boleh diminimumkan dengan tiada lagi fungsi-fungsi yang bertindih antara agensi.
Ini sangat penting agar lapangan terbang dan pintu masuk negara kita, lebih berdaya saing selain memudahkan pelawat yang berkunjung ke negara ini," kata Fadillah kepada pemberita, hari ini.
Beliau hadir merasmikan Peluncuran AKPS di Anjung Tinjau, Terminal 1, KLIA, di sini.
Turut hadir, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution, Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil serta menteri kabinet lain.
Sementara itu, penggunaan teknologi kecerdasan buatan (AI) oleh AKPS, dijangka mampu meningkatkan tahap keselamatan dalam memantau sebarang risiko ancaman.
Tegas Datuk Seri Fadillah, yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kesesakan Pintu Antarabangsa berkata teknologi tersebut membolehkan petugas di pintu masuk negara menjalankan pemantauan, penilaian, perancangan serta penguatkuasaan terhadap aktiviti mencurigakan pada tahap optimum.
"Selain itu, usaha mewujudkan AKPS ini mampu melatih para pegawai untuk menyesuaikan diri dengan teknologi dan ekosistem baharu, yang menjadi satu lagi cabaran yang perlu ditangani.
Dalam kita mengintegrasi teknologi canggih seperti sistem biometrik dan analitik data, pegawai-pegawai perlu dilengkapi dengan kemahiran yang diperlukan untuk mengendalikan alatan dan sistem berteknologi tinggi dengan berkesan.
Program latihan dan pembangunan kompetensi yang berterusan adalah penting untuk memastikan pegawai-pegawai AKPS bersedia dengan tuntutan pengurusan sempadan moden dan berteraskan teknologi terkini," tambah Datuk Seri Fadillah.