AKPS bakal terima 200 veteran ATM tahun ini

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail/Foto RTM

PUTRAJAYA, 3 Februari – Seramai 200 veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dijangka menyertai Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) bermula suku pertama tahun ini.

RINGKASAN BERITA AI
  • AKPS akan mengambil veteran ATM untuk memperkukuh sumber manusia agensi.
  • Pengambilan melibatkan bekas anggota Darat, Laut dan Udara dengan umur minimum 38 tahun.
  • Proses pengambilan dan lantikan kontrak akan dilaksanakan selepas kelulusan perjawatan oleh JPA.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, perjawatan bagi kemasukan veteran ATM ke AKPS telah diluluskan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dan proses pengambilan akan dilaksanakan dalam masa terdekat.

“200 veteran bagi permulaan dan saya percaya langkah ini berbeza berbanding pengambilan anggota baharu atau daripada Jabatan Kastam Diraja Malaysia, Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) atau Jabatan Imigresen.

“Mereka mempunyai kemahiran tertentu dan secara idealnya, kita berharap pengambilan ini dapat disempurnakan dalam suku pertama tahun ini,” katanya pada sidang media selepas sesi Menteri Dalam Negeri bersama warga AKPS di sini, hari ini.

Datuk Seri Saifuddin berkata, pengambilan veteran ATM itu akan melibatkan bekas anggota Tentera Darat, Tentera Laut Diraja Malaysia dan Tentera Udara Diraja Malaysia.

“Mereka merupakan aset unik yang akan memperkukuh sumber manusia AKPS.

“Bekas tentera akan bermula dengan umur minimum 38 tahun dan sasaran kita mereka masih cergas serta bertenaga,” katanya.

Turut hadir, Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri (KDN), Datuk Dr Awang Alik Jeman dan Ketua Pengarah AKPS, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain.

Sebelum ini, Datuk Seri Mohd Shuhaily berkata AKPS akan memulakan pengambilan 220 veteran ATM secara berperingkat, dan inisiatif yang diumumkan di bawah Belanjawan 2026 itu akan dilaksanakan melalui lantikan berasaskan kontrak selepas peruntukan diterima.